profile Forum entries credits +follow Dashboard








SIFAT ALLAH 2
Wednesday 26 December 2012@07:20

4. Sifat Mukhalafatuhu Lilhawadithi : Berlainan dengan sekali makhluk
         
                 Allah bersifat Mukhalafatuhu Lilhawadith, ertinya Allah berlainan dengan sekalian makhluk. Sudah tentu mustahil bagi Allah menyerupai akan sesuatu. Sebab Allah tidak sama dengan bentuk makhluk ciptaan-Nya, baik makhluk yang bernyawa ataupun tidak bernyawa. Berbeza Zat Allah dengan makhluk ertinya Zat-Nya tidak sama dengan makhluk. Berbezanya sifat-sifat Allah dengan makhluk ciptaan-Nya bermaksudnya, sifat-sifat Allah tidak sama dengan makhluk.

Perbezaan Zat Allah dengan sesuatu yang baharu maksudnya bahawa Zat Allah tidak sama dengan benda lain yang diciptakan-Nya, yang memiliki zat yang baharu. Berbeza sifat Allah dengan sesuatu yang baharu juga tidak sama dengan sifat segala benda selain Allah. Begitu juga dengan perbuatan Allah, tidak sama dengan perbuatan baharu atau segala benda yang ada di alam ini.

Wajib pada Syara' diatas tiap-tiap mukalaf mengetahui serta i'tiqad dan mengaku putus didalam hati akan tentu sungguh bersalahan Allah bagi segala yang baharu  dan tiada menyamai-nya. Firman Allah : "Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dia-lah yang Maha mendengar lagi Maha Melihat " ( Asy-Syura : 11 )

Dan bersalahan Allah bagi yang baharu dan juga tidak menyamai-Nya itulah dikatakan sifat Mukhalafatuhu Ta'ala Lilhawadith dan makna bersalahan itu tiga perkara : 
  1. Bersalahan pada zat dengan makna Zat Allah bukannya Jirim yang bertempat walaupun dimana tempat dan makhluk itu semuanya jirim yang bertempat. Kalau begitu tidak boleh dikatakan Allah itu bertempat dimana-mana tempat, maka jika didapati didalam Al-Quran atau Hadith barang yang memberi waham menyerupai dan bertempat maka dinamakan ayat itu ayat Mutashabihat dan Hadith Mutashabihat. 
  2. Dan bersalahan sifat itu ialah sifat-sifat Allah itu bukan 'Aradh yang bertangkap pada jirim dan bertempat bernama jirim. Kalau begitu, tidak bolehlah dikatakan Allah berhajat dimana-mana hajat dan sebagainya daripada sifat-sifat yang baharu. Dan bersalahan pada perbuatan itu ialah perbuatan Allah bukan seperti perbuatan yang baharu. Kerana perbuatan Allah menjadikan yang tiada itu ada, dan bukan pula perbuatan Allah itu daripada yang baharu.
  3. Dan dalil yang bersalahan Allah bagi segala yang baharu dan tidak menyamai itu ialah kita fikir, jikalau Allah tidak bersalahan bagi segala yang baharu, nescaya adalah ia menyamai dengan sesuatu yang baharu tentulah ianya baru seperti itu juga dan bathal kerana telah terdahulu bersifat Qadim dengan dalil-dalil yang nyata maka tetaplah Allah bagi segala yang baharu dan tidak menyamainya itulah pengakuan yang sebenar.
5. Sifat Qiyamuhu Binafsihi : Berdiri dengan sendiri-Nya
          
               Qiyamuhu Binafsihi maksudnya berdiri dengan sendiriNya, bahawa Allah bersifat berdiri dengan sendiri bukan bergantung dengan selainNya. Allah tidak bergantung terhadap yang diciptakanNya, sebaliknya sesuatu yang diciptakanNya itu setiap saat selalu berhajat kepada Allah.

Allah tidak berhajat dan berkehendak terhadap sesuatu yang lain, tidak memerlukan bantuan kepada makhluk-makhlukNya. Allah bersifat Qiyamuhu Binafsihi, mustahil jika Allah berhajat dan meminta pertolongan dengan alam yang akan binasa.

Allah maha berkuasa memiliki segala apa yang ada dilangit dan dibumi. Kemudian tidak sukar bagi Allah untuk mengurusi segala sesuatu yang ada di alam ini. Dia Maha Perkasa tidak pula la memerluakan bantuan dalam mengurusi segala ciptaanNya yang banyak itu.

Wajib pada atas tiap-tiap mukalaf mengetahui serta mengaku didalam hati akan tentu sun gguh berdirinya Allah dengan sendirinya, dan tidak berkehendak kepada yang menjadi dan tidak kehendak kepada zat ( Muhtajun Ila Ghairih )

6. Sifat Wahdaniyyah : Allah maha Esa 
         
                 Wahdaniyah ertinya Allah Maha Esa , tidak berbilang-bilang jumlahnya. Esa Allah Ta'ala itu ialah pada ZatNya, sifatNya dan Af'alNya. Allah itu Esa, maka janganlah sekali-kali kita membayangkan atau memikirkan bahawa ada tuhan yang lain selain Allah. Beriman kepada KeEsaan Allah,memudahkan bagi kita untuk beribadah dan berharap kepada Yang Satu.

Disamping kita percaya bahawa Zat Allah itu Esa, kita juga harus yakin bahawa sifat-sifat Allah itu mempunyai nilai yang tidak mengenal batas. Jika dikatakan Allah itu maha Pemurah, maka pemurahnya Allah itu tidak mengenal batasan. Jika Allah itu bersifat Maha Pengampun, maka ampunan Allah itu tidak mengenal batas. Walau betapa besar dosa dan kesalahan seseorang itu, jika Allah menghendaki keampunanNya maka dosa-dosa orang tersebut akan diampuni oleh Allah. 

Dan makna Esa pada zat Allah itu ialah Zat Allah yang tidak bersusun daripada beberapa Zat yang boleh dibilangkan dengan sekurang-kurangnya bilangan dengan baharu, boleh dikerat, dibelah dan dipotong seperti bagi zat yang baharu.

Wajib pada atas tiap-tiap mukalaf mengetahui seta mengaku putus dalam hatinya akan tentu sungguh Allah itu Esa pada Zatnya, SifatNya dan Af'alNya. Dan tidak Ta'addud ( berbilang-bilang )

7. Sifat Qudrat : Allah Maha Kuasa
         
               Qudrat ertinya Allah Maha Berkuasa keatas segala sesuatu. Hanya Allah yang berkuasa sedangkan selain Allah sebenarnya tidak mempunyai kekuatan dan kekuasaan. Kekuasaan Allah mutlak milikNya. Kekuasaan Allah itu bukan datang kemudian tetapi sudah ada semenjak zaman Azali lagi iaitu sebelum adanya sesuatu selain daripada Allah.

Allah menjadikan segala sesuatu yang dikehendakiNya. Firman Allah :
"Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia mengkehendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: " JADILAH", maka jadilah ia" ( Yassin :82 )

Pada sifat Qudrat, Allah Maha Kuasa mengadakan dan menidakkan sesuatu mumkin dan bagi Qudrat itu beberapa takluq ( menurut sifat akan satu pekerjaan lain daripada menuntut di ZatNya ), iaitu beberapa tugas.

Wajib pada syara' diatas tiap-tiap mukalaf mengetahui serta mengaku didalam hatinya akan tentu sungguh ada Tuhan Pekuasa, iaitu Allah Maha Kuasa dan tidak sekali-kali Ajzun ( lemah )

0 Comment(s)


© Copyright http://ernamadina267.blogspot.com ™ 2012.